MODEL EKONOMI BARU
UCAPTAMA OLEHDARI TEKS UCAPAN:
Y.A.B. DATO' SRI MOHD NAJIB TUN RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
DI
INVEST MALAYSIA 2010
HOTEL SHANGRI LA, KUALA LUMPUR
SELASA, 30 MAC 2010
8.15 PAGIPRINSIP MEB
23. Seterusnya, saya ingin menetapkan tiga prinsip yang saya percaya akan menjadi penunjuk kepada pemikiran negara dan pembangunan MEB. Saya mahu - seperti mana yang digariskan oleh Tan Sri Amirsham – untuk kita semua membayangkan kesan MEB pada masa akan datang dan makna MEB terhadap diri kita dari segi individu dan perniagaan.
24. Tiga prinsip yang jelas terhasil daripada laporan NEAC -
pertama, berpendapatan tinggi,
kedua, kemapanan dan
ketiga, keterangkuman (inclusive).
Ketiga-tiga prinsip ini akan memacu kemajuan ekonomi untuk kita menjadi sebuah negara yang membangun sepenuhnya; meletakkan kedudukan negara yang berdaya saing secara strategik di dalam ekonomi serantau dan global, persekitaran yang mapan dan kualiti kehidupan secara menyeluruh.
25. Kita perlu bertanya pada diri sendiri akan soalan asas ini: Adakah MEB ini menjana pekerjaan berpendapatan tinggi di mana Rakyat mendapat manfaat daripada ekonomi yang berdaya saing dan cara hidup yang lebih baik? Inilah intipati (raison d'ĂȘtre) bagi MEB. Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada pendapatan tahunan per kapita sebanyak USD7,000 kepada USD15,000 dalam tempoh 10 tahun seperti yang dinyatakan dalam Laporan NEAC. MEB hendaklah dibina dari sini. Ia bukanlah suatu tugas yang mudah, tapi ia menjanjikan pulangan yang lumayan jika kita mampu melakukan transformasi ini. Cabaran kita adalah bagaimana untuk melakukannya. Ini bermaksud, membangunkan sektor sedia ada dan memaksimumkan potensi sektor baru melalui inovasi.
26. Mewujudkan negara yang berpendapatan tinggi bermakna upah pekerja yang lebih tinggi bagi keseluruhan ekonomi disebabkan pertumbuhan bukan sahaja daripada modal, tetapi juga daripada produktiviti yang tinggi melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, koordinasi yang diperbaiki, penjenamaan yang kukuh dan mematuhi piawaian antarabangsa dan hak harta intelektual. Ekonomi yang berasaskan pengetahuan, pelaburan dalam teknologi baru, kemahiran yang pelbagai, innovasi dan kreativiti, serta peningkatan kompetensi adalah pemacu kepada prestasi sektor awam dan swasta. Kita mengharapkan pelaburan dan persaingan untuk bakat terbaik melalui pembayaran upah yang tinggi. Malah, pekerja kolar biru juga akan diberi upah berdasarkan peningkatan kompetensi yang mereka miliki, dengan prestasi mereka akan diukur berdasarkan tanda aras pesaing antarabangsa. Semakin banyak kemahiran, akan datang tanggungjawab yang lebih besar dan pekerjaan yang lebih baik serta berpendapatan tinggi.
27. Antara penemuan lain, laporan NEAC turut memberi penekanan bahawa sehingga hari ini seramai 80 peratus daripada populasi tenaga kerja mempunyai taraf pendidikan sehingga kelayakan SPM yang setaraf dengan O-levels. Perkara ini tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang kita aspirasikan. Kita perlu pendidikan yang berterusan, latihan kerja praktikal dan latihan semula kemahiran bagi memanfaatkan sepenuhnya teknologi baru. Dan dengan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di mana produktiviti dan daya saing memacu pertumbuhan, kos menjalankan perniagaan akan sentiasa berdaya saing berikutan penggunaan modal yang lebih efisien serta memberi penekanan terhadap pekerja yang berkualiti. Ini bermakna, pengurangan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang tidak berkemahiran, dan lebih penumpuan kepada pekerja pelbagai kemahiran yang boleh meningkatkan produktiviti. Perubahan ini juga memerlukan Kerajaan untuk turut meningkatkan kualiti dan produktiviti para pekerjanya. Saya percaya kita telah memulakan usaha melalui GTP, yang mana antaranya akan meningkatkan infrastruktur negara serta memperbaiki akses kepada pendidikan yang berkualiti.
28. Kedua, MEB mesti bertunjangkan komitmen terhadap penjanaan pertumbuhan yang mapan, bukan sahaja dari sudut prestasi ekonomi negara kita, bahkan perlu mengambilkira kesan pembangunan ekonomi ke atas persekitaran dan sumber asli yang tidak ternilai. Tidak ada maknanya kita terlalu mengejar masa depan dengan kekayaan yang melimpah-ruah, sekiranya sumber alam dan nilai masyarakat terhakis yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang. Pilihan ini adalah tidak wajar dan amat sia-sia sekali. Kita boleh memiliki pendekatan ekonomi yang mantap dan dinamik, tetapi ianya mesti berupaya memelihara negara kita yang dicintai demi generasi akan datang. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mapan hendaklah selari dengan pemuliharaan alam sekitar. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini semasa penubuhan NEAC, pencapaian berasaskan kekayaan semata-mata belum memadai dengan apa yang saya hasratkan. Bukan sahaja saya mahukan rakyat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, tetapi juga mereka turut menikmati kehidupan yang lebih sempurna. Meningkatkan kualiti hidup mestilah menjadi sebahagian daripada adunan MEB.
29. Akhir sekali, adakah MEB melibatkan keterangkuman? Kita perlu mengambil kira penggembelingan potensi keseluruhan rakyat Malaysia, dan sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara yang semakin berkembang.
30. Keterangkuman atau penyertaan menyeluruh merupakan pra-syarat utama bagi memupuk semangat kekitaan dan pemuafakatan di dalam MEB. Saya mengambil kesempatan ini, untuk menyentuh isu penyertaan menyeluruh MEB di mana tidak ada seorang pun yang terpinggir dalam menyumbang dan mengecapi hasil penjanaan kekayaan seiring dengan kemajuan negara. Walaupun dari segi realitinya, adalah mustahil untuk kita mencapai kesaksamaan yang sempurna dalam ekonomi global dan terbuka, masyarakat yang berteraskan penyertaan bersama mampu memastikan yang kita boleh mengurangkan jurang ketidaksamaan, mampu membantu mereka yang paling memerlukan, dan melibatkan penyertaan semua rakyat Malaysia yang berkebolehan dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.
31. Dalam mengubah pendekatan dengan mengambilkira cabaran-cabaran baru ini, ia memerlukan kita untuk mengubah pemikiran rakyat kita. Dalam jangka masa pendek, tentu akan ada tentangan yang hebat. Sebahagian sektor ekonomi mungkin terjejas. Proses pembaharuan tidaklah mudah dan tentunya akan mengalami kesukaran. Namun, bagi membina kekuatan jangka panjang negara, kita tidak boleh berterusan membelakangi isu ini. Jika kita benar-benar mahu menyelesaikan isu ketidaksamarataan dan menjadi contoh di rantau ini, kita perlu bertindak segera untuk melakukan perubahan.
(Sumber: www.1Malaysia.com.my)
0 comments:
Post a Comment