Thursday, August 6, 2009

SATU PANDANGAN ISU I.S.A.(Untuk kita bincang-bincangkan)

KEKAL, MANSUH ATAU PINDA? (6/8/09)
Dari Meja Ketua Pemuda UMNO Malaysia

Demonstrasi jalanan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada hari Sabtu lepas telah menyemarakkan lagi perdebatan mengenai akta ini.

Pada asasnya, saya menyokong keputusan Kerajaan untuk mengkaji semula ISA agar sesuai dengan keperluan semasa, sepertimana yang saya sebut sewaktu membincangkan ISA dalam rancangan 101 East di saluran Al-Jazeera (tayangan dijadualkan Khamis, 8.30 malam).

Pertama sekali, perlu ditegaskan bahawa Malaysia memerlukan mekanisme penahanan pencegahan (preventive detention), dalam erti kata seseorang individu boleh ditangkap dan ditahan bagi mengelakkan kesalahan atau jenayah yang belum diperlakukan, sebagai salah satu usaha pengurusan ketenteraman secara proaktif.

Dalam pada dunia mengalami ancaman ekstrimis dan pengganas, ditambah pula dengan sensitiviti unik dalam negara Malaysia yang berbilang kaum, kita tidak boleh menanti sesuatu bencana terjadi sebelum mengambil tindakan.

Oleh itu, saya yakin rakyat Malaysia sejagat boleh memahami peri pentingnya kuasa sebegini diberi kepada Kerajaan.

Walau bagaimanapun, agenda keselamatan dalam negeri perlu juga diimbangi dengan tuntutan demokrasi, yakni hak asasi manusia, kebebasan sivil dan keadilan.

Maka, ISA atau sebarang undang-undangpencegahan tidak boleh sama sekali digunakan untuk menghentikan bantahan yang sah (legitimate dissent) atau melenyapkan cabaran politik dengan cara 'mudah'.

Dalam erti kata lain, agenda keselamatan negara tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk kepentingan politik mana-mana pihak. Antara lain, skop definisi ancaman keselamatan kepada negara perlu diperketatkan untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa ISA.

Selari dengan komitmen untuk memartabatkan sistem demokrasi negara, UMNO dan BN peka kepada kemahuan ramai di kalangan generasi muda yang tidak selesa dengan ISA.

Saya tidak bersetuju kita melabelkan golongan ini sebagai buta sejarah atau seolah-olah memecah-belahkan bangsa Melayu semata-mata tentangan mereka terhadap ISA; sebaliknya kita perlu mendengar dan memahami pandangan mereka sejajar dengan proses pembaharuan yang ingin dijalankan parti dan Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak.

Oleh sebab itulah maka kita harus mengkaji dan menghalusi ISA agar mengambil kira pertimbangan dan juga pandangan dari masyarakat umum.

Saya ingin mengambil pendekatan yang lebih konstruktif dan membina di dalam perdebatan mengenai ISA dan menyoal akan hala tuju peruntukan undang-undang ini – samaada mahu dikekal, dimansuh atau dipinda?

Dalam konteks ini, saya berpendapat bahawa YAB Perdana Menteri telah memberi isyarat yang jelas bahawa akta ini tidak harus dikekalkan sepertimana ia sekarang. Samaada ISA akan dipinda atau diganti dengan suatu peruntukan undang-undang yang baru adalah satu keputusan politik.

Dalam hal ini, ada kemungkinan yang ISA ini sudah penuh dan sarat dengan beban politik yang menuntut satu penghijrahan dari legasi lampau.

Oleh sebab itu, selain dari pindaan kepada ISA satu pendekatan adalah dengan memansuh dan menggantikannya dengan suatu akta penahanan pencegahan yang mengimbangi aspek keselamatan negara serta hak asasi dan kebebasan rakyat, melalui proses penggubalan undang-undang yang merangkumi konsultasi dan maklum balas dari masyarakat umum.

Namun, sebelum itu, beberapa isu penting berkenaan peruntukan sedia ada harus diambil kira dan diberi perhatian terlebih dahulu termasuklah aspek paling hangat dibahas mengenai ISA, iaitu berkenaan kuasa yang diberikan kepada Kerajaan untuk menahan seseorang tanpa perlu dibicara.

Secara khususnya, saya mendapati bahawa ramai yang kurang selesa dengan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri di bawah seksyen 8 akta tersebut untuk menandatangani arahan penahanan selama dua tahun – dan boleh diperbaharui setiap dua tahun - tanpa perlu melalui proses semakan kehakiman atau ‘judicial review’.

Khususnya, selepas pindaan kepada ISA pada tahun 1989, perintah tahanan Menteri Dalam Negeri langsung tidak boleh disemak oleh mahkamah.

Hasilnya, Menteri Dalam Negeri secara teori boleh menahan seseorang itu untuk jangkamasa yang panjang kerana Lembaga Penasihat yang diperuntukkan oleh ISA untuk mengkaji status tahanan tidak mempunyai kuasa untuk menidakkan keputusan Menteri.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya ada yang tidak selesa dengan kuasa hampir mutlak yang diberikan kepada seorang Menteri – tidak kira siapa pun yang memegang portfolio itu – untuk menahan seseorang tanpa perbicaraan.

Bagi memastikan bahawa individu yang ditahan kerana disyaki ancaman kepada keselamatan negara mendapat perbicaraan yang adil dan tidak disimpan bertahun-tahun tanpa diberi peluang untuk membela diri, sistem kehakiman perlu diberi ruang untuk mengadili kes-kes sebegini.

Namun, memandangkan banyak ancaman keselamatan negara ini berkisar hal-hal sensitif yang tidak mungkin boleh dikendalikan dengan kaedah biasa seperti kes-kes yang melibatkan maklumat dari badan-badan risikan, barangkali ada baiknya jika mahkamah khas disediakan untuk mengadili kes sedemikian melalui perbicaraan tertutup (in camera), misalnya.

Di samping itu, seksyen 73 ISA membenarkan seseorang individu ditangkap oleh Polis dan dihalang dari berhubung dengan dunia luar - kadangkala keluarga si tahanan juga tidak dimaklumkan tentang penangkapan itu sendiri inikan lagi tempat di mana individu itu ditahan.

Malah, hak mendapat khidmat peguam juga tidak dijamin. Sungguhpun terdapat kes di mana tahanan ISA dibebaskan oleh mahkamah melaui permohonan habeas corpus, kebanyakan kes ini terhad kepada skop permohonan yang terbatas kepada isu-isu prosedur penangkapan sahaja dan tidak mencakupi semakan kehakiman mengenai sebab-sebab dan asas penangkapan.

Di sini, saya percaya perlu ada pembaharuan supaya khidmat guaman diberi kepada mereka yang ditangkap bawah ISA di samping kelonggaran untuk berhubung dengan anggota keluarga.

Ini adalah antara cadangan yang boleh dibincangkan demi kebaikan bersama dan untuk menyelesaikan kemelut kontroversi ISA.

Pada hemat saya, demonstrasi pada hari Sabtu lepas langsung tidak memberi impak positif kepada perbincangan ini kerana hanya menuntut pemansuhan mutlak ISA tanpa menyumbang apa-apa cadangan realistik yang mengimbangi tuntutan demokrasi dan keselamatan negara yang memerlukan kuasa penahanan pencegahan.

Jika kita ingin budaya masyarakat terbuka sejajar dengan kematangan berpolitik yang jitu, maka semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dengan menaikkan mutu perdebatan kita.

Tidak lagi boleh kita mengambil pendirian yang mudah - yakni mutlak pro atau anti ISA. Sebaliknya kita perlu kepada satu pendirian yang lebih matang, syumul dan kompleks yang mengambil kira segala keperluan demi kebaikan rakyat.

Khairy Jamaluddin

(SUMBER LAMAN WEB PEMUDA UMNO)

ARTIKEL INI ADALAH DARI PETIKAN DARI LAMAN WEB PEMUDA UMNO MALAYSIA UNTUK KITA FIKIR-FIKIRKAN DAN BINCANG-BINCANGKAN.

0 comments: