Thursday, March 19, 2009

HIMPUNAN MENJUNJUNG SETIA

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) malam ini bersumpah akan mempertahankan institusi raja-raja Melayu kerana ia merupakan pasak pada kekuatan bangsa dan negara.


Pengerusi Pemuda BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, institusi raja bukan baru bagi rakyat negara ini dan ia telah melalui banyak ujian dan cabaran pada zaman penjajahan Portugis dan British.




''Transformasi bangsa dan negara menjadikannya bertambah mantap dan matang. Namun tidak sesekali institusi raja mudah dihakis dan dirosakkan.

''Setiap kali diuji, payung negara tetap kukuh, ampuh oleh sebarang serangan dan semakin hari institusi raja semakin disanjung,'' katanya pada majlis himpunan Menjunjung Setia Daulat Tuanku di Dewan Tun Abdul Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Beliau berkata, sejarah mencatatkan penjajah dan kuasa besar pastinya berusaha melemahkan pasak kekuatan bangsa dan kedaulatan negara itu.

''Serangan, pembunuhan dan tipu muslihat digunakan namun sesiapa yang cuba merosakkan kekuatan ini, sesiapa yang mengkhianati pasak negara bangsa ini tetap akan menerima padah dan balanya,'' tegas Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu.


Tambahnya, biar sesukar mana ancamannya, institusi raja tetap bersama rakyat dan tidak sesekali menjual beli maruah bangsa dan kedaulatan negara.



''Institusi raja tidak pernah sesekali khianat kepada rakyat dan bangsanya,'' ujar beliau.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, anak-anak muda yang ingin meluahkan kemarahan dan kekecewaan terhadap kemelut politik di Perak patut diberi ruang dan dipantau supaya tidak mencetuskan sebarang kekecohan yang mengganggu ketenteraman awam.


Katanya, cetusan semangat itu jika tidak dikawal, boleh menyebabkan huru-hara dan kekecohan. "Sekurang-kurangnya kami tidak di jalanan... melontar batu dan sebagainya," katanya ketika mengulas ketegangan yang berlaku pada perhimpunan itu.

Kira-kira 10,000 pemuda berbilang kaum dari seluruh pelosok negara itu menghadiri majlis tersebut termasuk 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Majlis Belia Malaysia, para pesilat dan mahaguru yang mewakili pertubuhan silat.


Laungan Daulat Tuanku ! dan Hapuskan Penderhaka bergema dalam dewan tersebut dari mula hingga berakhir majlis tersebut.

Perhimpunan anjuran Pemuda BN itu adalah untuk menyatakan taat setia kepada institusi raja di negara ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo.

Pada perhimpunan itu anggota Pemuda BN turut membaca Sumpah Menjunjung Setia yang antara lain bertekas menjunjung prinsip Rukun Negara dan menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.Pada 19 Februari 2009, bertempat di Dewan Tun Hussien Onn, PWTC, satu majlis telah diadakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
* sumber Utusan Malaysia

0 comments: